Slot Pedoman

SATU : Cara-cara Memperoleh Kejayaan

MELAKA 28 Dis. – Seorang pelajar, Nurizzati Datuk Zainal Nazeri dari Kolej Yayasan Saad (KYS), berkata, pelaksanaan sistem mentor- menti di kalangan rakan- rakan sebaya ternyata banyak membantunya mencapai keputusan yang baik dalam PMR.

Anak kepada penyanyi Datin Suliza Salam itu berkata, melalui sistem tersebut setiap pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran tertentu akan menjadi mentor kepada rakannya yang lain.

‘‘Jadi antara kami saling bersaing antara satu sama lain. Kami juga berusaha untuk membuktikan bahawa kamilah mentor terbaik.

‘‘Ternyata sistem ini banyak membantu kami untuk berjaya selain tumpuan di dalam kelas,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi pakar ekonomi atau ahli perniagaan.

Bagi rakannya, Muhammad Syamil Asyran Suhaimi, 15, kesempatan tinggal di asrama dengan jadual tersusun memudahkannya mendapat keputusan yang baik.

Katanya, sistem mentor-menti yang dijalankan di kolej itu juga sangat membantunya untuk mencapai keputusan cemerlang.

‘‘Dengan cara ini, antara kami akan saling membantu mereka yang lemah dalam mata pelajaran yang akhirnya kami semua memperoleh kecemerlangan, tiada yang gagal,” katanya.
Bagi Jessica Leong, 14, pula kedudukannya sebagai anak sulung daripada dua beradik mendorongnya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.


Kokurikulum tidak jejas pelajaran

SETIU 28 Dis. – Penglibatan aktif dalam bidang kokurikulum bukan penghalang bagi Anis Nasyitah Mohd. Noor untuk muncul sebagai pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 peringkat negeri Terengganu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong yang sangat aktif dalam beberapa kelab di sekolahnya termasuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Kelab Matematik, Kelab Bahasa Inggeris dan Puteri Islam, memperoleh 8A dalam peperiksaan itu.
Ketika ditemui, anak keempat daripada lima adik beradik itu berkata, penyertaan dalam persatuan tidak menjadi penghalang dia mencapai kejayaan akademik.

‘‘Ini kerana saya membahagikan masa untuk kegiatan kokurikulum pada waktu siang dan pada waktu malam untuk mengulang kaji pelajaran.

‘‘Saya juga bermain badminton bersama rakan pada waktu petang kerana aktiviti ini membolehkan saya sentiasa sihat serta cergas pada setiap masa,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini, semalam.

Anis Nasyitah yang berasal dari Bukit Payong, Kuala Terengganu berkata, dia juga sentiasa memberi tumpuan penuh terhadap pelajaran terutama semasa berada di kelas.
Katanya, masa yang paling sesuai untuk mengulang kaji pelajaran ialah antara pukul 4 pagi hingga 6 pagi kerana ketika itu suasana sunyi tanpa sebarang gangguan.

‘‘Saya tidak kisah walaupun ketika itu biasanya orang sedang tidur nyenyak tetapi saya bangun dari tidur untuk belajar dan selepas itu saya solat subuh,” kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Tok Dir, Kuala Terengganu itu.


SMK Binjai catat kelulusan besar 8A

KEMAMAN 28 Dis. – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai yang baru berusia tiga tahun dan hanya sebuah sekolah harian biasa di pedalaman daerah ini, mencatat peningkatan tinggi bilangan pelajar mendapat 8A pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengetuanya, Md. Idris Che Man berkata, kunci utama kejayaan ialah pelajar sekolah amat berdisiplin dan tiada kes salah laku berat menyebabkan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

Katanya, sebelum ini tidak banyak pihak memberi harapan kepada sekolah kerana rata-rata pelajarnya anak petani, penoreh getah, peniaga pasar malam, dan buruh kasar.

‘‘Pada tahun lalu, sekolah berkenaan yang dibuka pada 2005 hanya dapat menghasilkan seorang pelajar 8A namun tahun ini bertambah 16 kali ganda apabila 17 pelajar mendapat 8A,’’ katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain 17 pelajar memperoleh 8A, sebanyak 17 pelajar lagi mendapat 7A dan 16 pelajar mendapat 6A, manakala kadar lulus semua mata pelajaran (LSMP) meningkat daripada 55 peratus kepada 75.11 peratus.

Jelasnya, sebanyak 175 daripada 233 calon PMR 2007 lulus semua mata pelajaran dan angka itu terbaik di kalangan sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Air Putih.
Katanya, kejayaan itu turut disebabkan kegigihan pelajar dan guru selain kerjasama Asrama Yayasan Terengganu cawangan Kemaman serta sokongan kuat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Penyelaras Projek PMR sekolah itu, Abdullah Othman pula berkata, kerelaan ibu bapa membenarkan anak mereka didenda jika ponteng sekolah dan bersikap biadap menyebabkan pelajar gerun melawan guru.


Amalan bawa bekal air dorong kejayaan sekolah


KUANTAN 28 Dis. – Amalan mewajibkan semua pelajar membawa bekalan air minuman yang dimasak setiap kali mengikuti pembelajaran di dalam kelas ternyata memberi kesan positif bagi Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, dekat sini.

Hasilnya, sekolah tersebut menjadi sekolah terbaik bagi daerah Kuantan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) buat kali ketiga berturut-turut.
Pengetua sekolah itu, Abas Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin amalan tersebut merupakan faktor terbesar dalam menyumbang kejayaan akademik sekolah terbabit.

‘‘Ia merupakan formula terbaik bagi pelajar mengelakkan rasa mengantuk ketika berada di dalam kelas.

‘‘Saya selalu berpesan kepada para pelajar saya, setiap kali rasa mengantuk, minum air masak dan ia sekaligus akan meningkatkan tumpuan ketika berada di dalam kelas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abas memberitahu, selain amalan tersebut, pihaknya sering menitikberatkan aspek keselesaan pelajar ketika berada di dalam kawasan sekolah.

‘‘Saya yakin, kejayaan cemerlang pelajar di sekolah bermula dari kemudahan infrastruktur yang cukup dan selesa.

‘‘Sebab itu, saya selalu memastikan kelas sentiasa berada dalam suasana ceria dan keadaan asrama selesa, seolah-olah seperti kita berada di dalam hotel,” katanya yang juga percaya suasana sekolah yang harmoni dapat memantapkan lagi pembinaan sahsiah dan rohani dalam diri pelajar.
Beliau yang akan bersara sebagai seorang pengetua sekolah tidak lama lagi turut mengakui kerjasama ibu bapa penting dalam memastikan kejayaan anak.

‘‘Walau apa pun, ibu bapa perlulah sentiasa menyokong para guru agar terus bersemangat dan tidak berputus asa untuk terus menjadi pendidik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih dengan kerjasama persatuan bekas pelajar sekolah berkenaan yang membelanjakan RM20,000 untuk mengadakan satu program motivasi di Genting Highlands baru-baru ini.

‘‘Selain itu, para pelajar sekolah yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan turut dibawa ke Langkawi sebagai bonus kejayaan mereka.

‘‘Amalan ini menjadi tradisi kami dan pihak sekolah bersyukur kerana pihak ibu bapa dan persatuan bekas pelajar sentiasa berdiri teguh bagi menyokong kejayaan lebih cemerlang sekolah di masa depan,” katanya.

DUA : Manusia dan Rahasianya

Allah telah mengurniakan beberapa keistimewaan kepada makhlukNya yang dipanggil manusia. Keistimewaan ini ialah grand design dan menjadi rahsia Allah yang tidak diceritakan kepada makhluk-makhlukNya yang lain, termasuklah para malaikat. Apabila malaikat menyoal Allah, adakah kemungkinan manusia akan membuat kerosakan dimuka bumi. Allah menjelaskan bahawa, kejadian manusia adalah untuk menjadi khalifahNya di muka bumi ini. Memang beruntung makhluk yang bernama manusia ini.


Buktinya dapat dilihat dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 30 yang bermaksud “Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Lalu para malaikat bertanya, ‘Apakah Engkau hendak menjadi di muka bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kali sentiasa bertasbih dan memuji Engkau?’ Allah menjelaskan; ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

Walau bagaimanapun, rahsia kejadian manusia itu Allah ceritakan dalam kalamNya yang teragung, iaitu Al-Quran.

Rahsia Pertama – Allah sendiri Memuliakan manusia

Allah sendiri telah memuliakan makhluk yang bernama manusia ini. Allah berfirman dalam Al-Quran(surah al-Isra : 70) yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan Bani Adam(manusia) dan Kami tempatkan mereka di bumi dan di lautan serta Kami berikan kepada mereka dari jenis yang baik-baik. Dan Kami berikan mereka banyak kelebihan daripada makhluk-makhluk lain yang Kami jadikan.”

Rahsia Kedua – Manusia dijadikan dengan Sebaik-baik Kejadian

Allah berfirman dalam surah at-Tin, ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

Sebaik-baik kejadian manusia termasuk dijadikan akal dan pancaindera yang boleh membina tamadun bumi ini. Makhluk lain tidak diberikan kelebihan akal ini. Kalau tidak, dah lama nelayan susah nak tangkap ikan.yelah, ikan-ikan bijak berfikir, tau orang nak tangkap. Tak ke susah manusia nak makan ikan.hehehe.

Rahsia Ketiga – Manusia diberi Akal Fikiran

Kemuliaan manusia kerana diberikan akal daripada Allah. Itulah kelebihan yang nyata manusia berbanding makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain. Rasullah S.A.W pernah bersabda, yang bermaksud “makhluk yang mula-mula sekali dijadikan Allah ialah akal. Maka Allah berfirman kepadanya; ‘Menghadaplah kepadaKu’. Akal pun menghadap. Kemudian firmanNya lagi; ‘Membelakangilah Aku’. Lalu akal membelakang. Allah berfirman lagi mengenai akal; ‘Demi kemuliaan dan kebesaran Aku, tidak Aku jadikan makhluk yang lebih mulia daripada engkau. Dengan engkau Aku mengambil dan dengan engkau Aku memberi. Dengan engkau Aku memberi pahala dan dengan engkau Aku menyeksa.” (riwayat Tabrani dari Abi Umamah).

Akal ialah makhluk yang mula-mula dijadikan dan termulia daripada makhluk lain. Dengan akal juga, manusia menjadikannya sebagai panduan dan neraca dalam hidup untuk mendapatkan pahala atau neraka. Di samping itu, dengan akal, iman, agama dan akhlak manusia akan menjadi sempurna. Mana-mana manusia yang menjadikan akal sebagai alat untuk mendapatkan petunjuk, mendapatkan iman, membina akhlak dan panduan dalam hidup, maka manusia itulah yang mendapat martabat mulia dan tinggi di sisi Allah serta makhluk lain. Tetapi jika sebaliknya, maka tergolonglah manusia itu ke dalam golongan yang disebutkan Allah di dalam Al-Quran sebagai yang lebih hina daripada haiwan. Rujuk Surah al-A’raf, ayat 179.

Sabda Rasullah, yang bermaksud “Orang yang paling sempurna akalnya di antara kamu ialah orang yang paling takutkan Allah dan amat mengambil berat mengenai perintah dan larangan Allah walaupun dia melakukan amalan sunat sedikit.” (riwayat Ibnu Mahbar). Bagi orang yang menggunakan akalnya untuk berfikir, merenung, merancang dan menghasilkan sesuatu yang berguna, maka faedah pahalanya melebihi ibadah sunat setahun!

Rahsia Keempat – Manusia dilantik Allah sebagai Khalifah

Maksud khalifah ialah wakil atua pengganti. Apabila manusia dilantik menjadi khalifah di bumi ini, bermakna dia dilantik sebagai wakil bagi pihak Allah untuk mengurus dan mentadbir muka bumi mengikut peraturan yang telah ditetapkanNya. Jawatan ini hanya diserahkan kepada manusia, yang menunjukkan bahawa manusia memang makhluk Allah yang mempunyai darjat dan kedudukan tinggi pada pandangan Allah. Pentaulihan ini jelas diterangkan dalan al-Quran, surah al-An’am, ayat 165 yang bermaksud “Dan Dialah yang menjadikan kamu(manusia) sebagai khalifah di muka bumi ini.”

Rahsia Kelima – Manusia Diatur Keturunan dengan Baik.

Manusia sahaja yang diberi peraturan dan panduan dalam kekeluargaan. Makhluk lain tidak. Cuba tengok lembu, mana ada nak berkenal-kenalan, merisik, bertunang dan berkahwin, dan kemudian dapat anak. Lembu jantan main belasah aje, tanpa mengira lembu betina kepunyaan siapa pun. Tup…tup, lembu betina dah bunting (dengan izin Allah).Bapa lembu tak kisah dah(buat don’t know aje…). Kalau manusia mana boleh. Perlu ada ikatan perkahwinan. Dan zuriat yang dilahirkan berbin kan si bapanya. Hal ini ingin menjaga kerukunan hidup manusia itu sendiri.

Rahsia Keenam – Manusia mempunyai tempat tinggal khusus dan Indah

Kita ni sebenarnya diciptakan Allah dengan memiliki sifat kreatif. Kita mampu mempelbagaikan bentuk dan jenis tempat tinggal yang kita ingini(tak perlu ambil course senibina pun!). Manusia juga kreatif membuat pelbagai kerja untuk tujuan mencari nafkah. Tidak seperti binatang yang tidak ada tempat tinggal dan tidak kreatif membuat pelbagai jenis kerja. (kuda-kuda kat UTM.hidup mewah..kipas nak 24 jam,makan nak best-best..huhuhu)

Maka tak hairan la manusia tinggal di rumah yang cantik, indah dan dihiasi pelbagai jenis perhiasan, perabot dan lain-lain. Bidang pekerjaan untuk mencari nafkah terlalu banyak, contohnya petani, tukang masak, guru, doktor, jurutera, pelukis dan lain-lain. Keadaan ini wujud hanya bagi manusia! Bayangkan kalau itik pergi keje, tak ke pelik tu!

Rahsia Ketujuh – Manusia makhluk bermasyarakat

Manusia dijadikan dalam pelbagai bangsa dan bersuku. Mereka boleh berkenalan, hidup rukun dan aman, malah suka membantu. Pendek crite, manusia boleh membentuk masyarakat la.

Rahsia Kelapan – Manusia diberi kuasa memilih

Manusia diberi keisitmewaan untuk memilih jalan hidupnya, sama ada untuk hidup bahagia atau terseksa, sama ada di dunia atau akhirat. Manusia tidak pernah dipaksa. Mereka memilih sendiri jalan hidup, dan akan bertanggungjawab terhadap jalan hidup yang dipilihnya. Agama atau pegangan hidup bagi manusia juga sesuai dengan fitrah dan sifat semulajadinya.

Allah berfirman yang bermaksud: “ Tidak ada paksaan dalam agama.Sesungguhnya telah jelas dan nyata jalan kebenaran dan jalan kesesatan.Siapa yang menolak jalan taghut dan memilih jalan beriman kepada Allah sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali Allah yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah : 256) .

Rahsia Kesembilan – Kemuliaan Manusia kerana Berakhlak

Manusia menjadi makhluk yang termulia di sisi Allah adalah kerana Allah telah sempurnakan akhlak manusia itu. Ini merupakan kemuncak tertinggi dalam diri manusia. Baginda Rasullah mengakuinya dalam sebuah hadis yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia”(Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi).

Akhlak mulia merupakan hasil dari ibadah dan cara hidup orang Islam. Setiap orang akan dinilai dari segi akhlaknya. Kalau baik akhlaknya, maka ia akan dianggap baik dan juga sebaliknya. Rasullah juga menegaskan bahawa akhlak mulia itu mempunyai kaitan dengan agama(cara hidup). Sabda baginda yang bermaksud: “Bermula agama itu ialah budi pekerti mulia”(Riwayat Muhammad bin Nasyur).

Pernah seorang sahabat datang memberitahu Rasullah bahawa terdapat seorang wanita ahli ibadah, yang waktu malamnya bertahajud dan siang berpuasa sunat, tetapi mempunyai akhlak yang buruk dan suka menganggu serta menyakiti hati jiran dengan lidahnya. Maka Nabi S.A.W dengan tegasnya bersabda yang bermaksud : “Tidak ada kebaikan pada wanita itu dan dia termasuk ahli neraka”(Riwayat Ahmad dan Hakim).

“Sekiranya aku berkawan dengan orang derhaka tetapi berakhlak mulia, lebih baik bagi aku daripada brekawan dengan seorang ahli ibadah yang berakhlak buruk”-Fudhail

Kesempurnaan akhlak seseorang itu juga berkait rapat dengan kesempurnaan akalnya. Ini bermakna akal dan akhlak tidak terpisah. Itulah nilai martabat makhluk selaku manusia. Mulia atau hinanya bangsa itu bukan terletak pada kekuatan senjata dan kekayaan harta tetapi lebih banyak terletak pada akhlak mulia.

Untuk mengembalikan kekuatan, kemuliaan dan keagungan umat Islam, tidak cukup dengan hanay membina kekuatan ekonomi, politik dan senjata tanpa akhlak mulia. Akhlak mulia ialah asas kekuatan umat Islam. Selagi umat Islam berakhlak mulia, selama itu akan disegani dan dihormati oleh semua bangsa. Kekuatan zahir hanya dijadikan sebagai kekuatan tambahan.

Rahsia Kesepuluh – Manusia mampu mengendali dan meningkatkan maqam nafsunya

Malaikat berjiwa suci, tapi tiada nafsu. Binatang pula diberi nafsu tanpa akal. Manusia pula diberikan akal dan nafsu serta perasaan. Nafsu sebenarnya dapat dipecahkan kepada beberapa jenis. Antaranya :

1) Ammarah
2) Lawwamah
3) Mulhimah
4) Mutmainnah
5) Radhiah
6) Mardhiah
7) Kamilah

Nafsu sentiasa mengajak kepada kejahatan. Nafsu ini adlah nafsu ammarah. Walau bagaimanapun, Allah telah memberikan kemampuan dan kekuatan untuk manusia mengendalikan nafsu sehingga menjadi baik dan boleh didorong kepada kebaikan. Nafsu yang terdidik menjadi baik iaitu nafsu mutmainnah. Nafsu ini adalah nafsu ahli syurga.

Nafsu ada yang baik dan ada yang jahat. Kedua-duanya wujud dalam diri manusia. Siapa yang dikuasai salah satu daripadanya, dia akan bersifat dengan pilihannya itu. DAN untuk menentukan antara nafsu itu yang menjadi sifat manusia, ia bergantung sejauh mana akal manusia itu berusaha mengendalikan dan mengawal serta berusaha untuk mencapai nafsu yang baik.

Nafsu jahat boleh dikalahkan dan nafsu baik boleh ditingkatkan dengan beberapa latihan, melalui 4 cara iaitu kurangkan makan, kurangkan tidur, bercakap sekadar perlu dan sabar dengan ujian yang menimpa.dan sabar dengan ujian yang menimpa.

#Artikel ini diambil daripada laman EzineArtikel.com,dengan tajuk asalnya Anda Ingin Tahu Rahsia Manusia?